Monday, April 27, 2009

Sekitar Bengkel Penulisan Bebas


Bengkel penulisan bebas telah diadakan pada 11 April yang lalu dan bertempat di Universiti Multimedia. Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan tentang dunia penulisan dan industri percetakan di Malaysia. Penceramah yang telah diundang pada kali ini ialah Encik Zamri Mohamad, seorang penulis buku juga merangkap penulis bebas sepenuh masa. Beliau sering diundang untuk memberikan ceramah berkenaan topik penulisan dan pemasaran internet. 

Bengkel ini bermula pada pukul 9.00 pagi dengan input baharu serta perkongsian pengalaman hidup Encik Zamri dalam bidang penulisan. Tidak lupa juga, beliau turut memberi tips yang berguna kepada kami sebagai penulis yang masih berjinak-jinak dalam bidang penulisan. Pada sebelah petang, aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) dilaksanakan dengan pembabitan para peserta secara menyeluruh. Kesempatan ini digunakan oleh para peserta yang cuba mengaplikasikan bakat serta kreativiti dalam latihan penulisan. Encik Zamri banyak memberikan tunjuk ajar sepanjang sesi ini.

Bengkel ini berakhir pada pukul 5 petang dengan sesi penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta dan sesi bergambar. Semoga program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang. Sekalung penghargaan buat pihak MMU, khususnya Persatuan Bahasa dan Kebangsaan Melayu (PBMKM) yang telah sudi mengundang IPGM KPM sebagai peserta bengkel ini.


Jujur. Proaktif. Produktif.

0 comments: